Rangkaian PAKEJ

Mengenai PAKEJ

Negara mensasarkan peningkatan perkhidmatan pos dan kurier dengan mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna Malaysia yang menerusi pencapaian empat matlamat yang diringkaskan sebagai 4R iaitu Reliability (Boleh Percaya), Reach (Liputan), Relevance (Relevan) dan Resilient (Daya Tahan).  Justeru, pembangunan ‘blueprint’ Pelan Accelerator Kurier Negara atau ringkasnya ‘PAKEJ’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berteraskan kepada matlamat 4R adalah bertujuan bagi menyumbang kepada aspirasi nasional industri kurier iaitu:

i) Untuk memperkukuhkan kualiti rangkaian perkhidmatan (QoS) kelas pertama;

ii) Meningkatkan kualiti perkhidmatan penghantaran bungkusan kepada penerima; dan

iii) Memberikan pengalaman (QoE) lebih baik kepada rakyat secara ‘contactless’ tanpa sentuh melalui norma baharu yang sekaligus menjayakan agenda ekonomi digital negara.

Bagi mencapai matlamat tersebut, penyediaan ‘Rangkaian PAKEJ’ adalah antara pendekatan strategik di bawah ‘blueprint’ PAKEJ yang menyokong tonggak (pillar) ‘Pencapaian Kelestarian Industri’ ke arah mencapai matlamat utama iaitu bagi meningkatkan jumlah bungkusan daripada 14 bungkusan per kapita kepada 30 bungkusan per kapita pada tahun 2025 sepertimana yang disasarkan di bawah Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ).

Rangkaian PAKEJ adalah penyediaan perkhidmatan PUDO (akronim kepada istilah ’Pick-Up Drop-Off’) yang membolehkan bungkusan dipungut dan diserahkan di lokasi terpilih yang dipercayai menerusi peti simpanan atau kaunter perkhidmatan.

Menerusi pelaksanaan perkhidmatan Rangkaian PAKEJ, ia dijangka dapat membantu dalam menangani isu kelewatan penerimaan bungkusan (missed delivery) yang berpunca daripada ketiadaan pihak penerima di rumah dengan menawarkan keselesaan kepada penerima untuk menerima bungkusan pada sebarang lokasi terpilih mengikut masa yang diingini.

Di peringkat nasional, PAKEJ dapat menyumbang ke arah pencapaian Aspirasi Digital Nasional menerusi Rangkaian Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia atau ringkasnya MyDIGITAL menerusi Teras 2 – Meningkatkan Dayasaing Ekonomi Melalui Pendigitalan. Ia dapat menggalakkan inisiatif kerajaan ke arah pendigitalan merentasi sektor terutama sektor perniagaan dan kewangan.

Pada masa yang sama, PAKEJ juga menyokong pencapaian Pelan Halatuju Strategik Ekonomi Nasional 2.0 yang mensasarkan penghasilan seramai 875,000 usahawan mikro kecil dan sederhana yang menggunakan e-dagang dalam sektor perniagaan di mana kewujudan PAKEJ dapat memastikan kelancaran operasi perkhidmatan penghantaran. Secara keseluruhannya, situasi ini akan menyumbangkan hasil kepada pihak Kerajaan dengan pencapaian 30% peningkatan dalam produktiviti bagi sektor ekonomi pada 2030.

Dalam kepesatan aktiviti e-dagang yang dipacu dengan aktiviti perkhidmatan penghantaran; pengurangan kadar pelepasan karbon turut menjadi tumpuan di mana Malaysia telah menetapkan komitmen untuk pengurangan kadar pelepasan karbon sebanyak 45% pada tahun 2030 berbanding dengan 31% yang dicatatkan pada tahun 2020.

Bagaimana Rangkaian PAKEJ Berfungsi?

Secara umumnya, platform Rangkaian PAKEJ memanfaatkan pembolehdaya PUDO yang menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan menerusi pendekatan baru dan efisien dengan beroperasi menerusi tiga (3) komponen utama iaitu:

i) Perkhidmatan kaunter sedia ada di stor peruncitan yang berhampiran dengan kawasan penduduk yang menyediakan kaunter perkhidmatan untuk pungutan dan serahan bungkusan oleh pengguna;

ii) Syarikat Teknologi – teknologi yang menyokong rangkaian data kepada penyedia perkhidmatan Rangkaian PAKEJ merangkumi kaunter runcit, syarikat kurier, pusat ‘fulfillment’ dan peruncit. Dengan memanfaatkan teknologi seperti aplikasi mudahalih, SMS, laman sesawang; pengguna akan memperolehi bungkusan dan menyerahkan bungkusan mengikut keselesaan; dan

iii) Integrasi – teknologi Rangkaian PAKEJ yang membolehkan pengguna untuk menentukan pergerakan bungkusan dan memilih lokasi Rangkaian PAKEJ yang diingini.

Dengan keupayaan keseluruhan komponen tersebut, Rangkaian PAKEJ membolehkan transformasi ‘last mile fulfillment’ di mana pengguna dan pembekal perkhidmatan mendapat manfaat menerusi kemajuan proses dan teknologi. Rangkaian PAKEJ adalah dibangunkan bersama dengan pemain industri perkhidmatan PUDO di Malaysia yang memaparkan pelbagai lokasi perkhidmatan di bawah satu gerbang setempat.

Penyedia Perkhidmatan Rangkaian PAKEJ

Manfaat Rangkaian PAKEJ

Menerusi kewujudan ‘Rangkaian PAKEJ’, manfaat yang diperolehi oleh rakyat adalah :

i) Menghasilkan perkhidmatan digital yang lebih efisien dan terpercaya (trusted) bagi menangani isu penghantaran bungkusan yang tidak sampai ke tangan penerima akibat ketiadaan penerima berada di rumah yang dapat mengatasi kelewatan penerimaan;

ii) Merupakan penyelesaian kepada rakyat yang tidak mempunyai alamat rumah dan juga menjadi ‘alamat kedua’ yang membolehkan bungkusan diterima pada bila-bila masa dengan selamat serta mengikut keselesaan penerima;

iii) Memudahkan pengambilan dan penghantaran bungkusan oleh pengguna semasa dalam laluan ulang-alik ke rumah atau ke tempat kerja;

iv) Mempertingkatkan jangkauan (visibility) perkhidmatan para pemain industri yang sekaligus mempromosikan perkhidmatan mereka dengan lebih meluas lagi bagi capaian pengguna;

v) Keselamatan dan perlindungan privasi yang terjamin; dan

vi) Menggalakkan gaya hidup digital – pembayaran tanpa tunai, teknologi tanpa kertas dan penggunaan kod QR; dan

vii) Menggalakkan amalan yang lebih mesra alam melalui pengurangan kadar pelepasan karbon

Go Top