04th Sep 2021

Perkhidmatan Internet Di Lebih 17 Buah Kawasan Di Paya Besar, Pahang Terus Dipertingkatkan Di Bawah Pelan Jendela

CYBERJAYA 4 September 2021

Lebih daripada 17 buah kawasan penempatan penduduk luar bandar dan kawasan persekitarannya di Paya Besar, Pahang kini telah mendapat perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik melalui rangkaian 4G setelah siapnya sebuah menara baharu dan 19 stesen pemancar yang telah dinaik taraf sehingga 31 Ogos 2021 lalu.

Antara kampung-kampung yang dimaksudkan adalah FELDA Bukit Sagu 1, Bukit Gambang Resort City, FELDA Lepar Hilir 1, FELDA Lepar Hilir 2, FELDA Lepar Hilir 3, FELDA Panching Timur, FELDA Bukit Sagu 4, Kolej Matrikulasi Pahang, Sungai Semuji, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Sri Jaya Interchange, kawasan Rehat & Rawat Gambang, Kampung Gelugor, Kampung Kolek, Kampung Batu 37, Kampung Paya Bungor Kiri dan Kampung Semuji.

Secara keseluruhan di bawah pelan JENDELA di Paya Besar, sebanyak 23 menara baharu akan dibina dan 67 stesen pemancar sedia ada yang akan dinaik taraf ke rangkaian 4G. Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 4,545 premis akan disediakan dengan capaian rangkaian gentian optik.

Satu tinjauan telah dijalankan pada 2 September bagi memantau perkembangan pelaksanaan projek JENDELA. Kerja-kerja pelaksanaan projek JENDELA dijangka siap secara berperingkat bermula pada penghujung bulan Disember 2021 sehingga penghujung Mac 2022.

Dalam pada itu, orang ramai adalah digesa untuk memanfaatkan JENDELA Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal mereka selain mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan jalur lebar. Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang di pautan https://jendela.my.