04th Jul 2021

Penduduk Panching Timur, Felda Bukit Sagu 2 Dan Sekitar Persimpangan Gambang Interchange Kini Nikmati Jaringan Telekomunikasi Lebih Baik Selepas Tiga (3) Infrastruktur Yang Dibina Telah Beroperasi

CYBERJAYA, 4 Julai 2021

Para penduduk di kawasan Panching Timur, Felda Bukit Sagu 2 dan sekitar persimpangan Gambang Interchange yang terletak di bawah Parlimen Paya Besar, kini boleh menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik selepas tiga (3) infrastruktur telekomunikasi telah didirikan di sana oleh pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom dan Digi dengan kawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Tindakan tersebut adalah lanjutan daripada pertemuan antara Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Mohd Shahar Abdullah dengan MCMC bersama dengan pemain industri pada April lalu.

Semua infrastruktur telekomunikasi terbabit telah siap dan mula beroperasi sejak Jun 2021 lalu. Infrastruktur ini telah memberi liputan telekomunikasi kepada beberapa buah kampung seperti Felda Panching Timur, Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3, Taman Rakyat Gambang, Masjid Gambang dan kawasan perindustrian Gambang serta persekitarannya yang memberi manfaat kepada hampir 1,000 penduduk setempat.

Sebagai usaha berterusan, beberapa inisiatif lain juga telah dirancang di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang mana sebanyak 19 buah menara baharu akan dibina di dalam kawasan Parlimen Paya Besar. Menara-menara ini akan mula dibina seawal bulan Ogos 2021 depan dan dijangka siap secara berperingkat antara bulan Mac hingga Jun 2022.

Selain pembinaan menara-menara baharu, kerja-kerja naik taraf perkhidmatan rangkaian 3G kepada 4G juga telah dirancang untuk dilaksanakan yang akan melibatkan sebanyak 65 stesen pemancar di seluruh kawasan Parlimen Paya Besar. Kerja-kerja naik taraf dijangka bermula pada bulan Ogos 2021 dan siap secara berperingkat sehinga Mac 2022.

Pada masa yang sama, sebanyak 4,545 buah premis di Parlimen Paya Besar juga akan terlibat dalam kerja naik taraf teknologi lama berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik. Ini bagi membolehkan capaian jalur lebar tetap dengan kelajuan Gigabit disediakan. Inisiatif ini telah pun bermula semenjak suku pertama tahun 2021 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua tahun 2022 bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada.

Dengan pembinaan infrastruktur telekomunikasi dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif lain di bawah JENDELA, ia mampu melonjakkan taraf kehidupan penduduk setempat di samping membolehkan mereka melaksanakan aktiviti seharian dengan lancar.