01st Jul 2021

MCMC Turun Padang Tangani Masalah Capaian Internet Di Kg. Bahagia, Kuala Krai

CYBERJAYA, 1 Julai 2021

Susulan masalah capaian Internet lemah di Kg. Bahagia, Kuala Krai dan juga beberapa buah kampung sekitarnya iaitu Kg. Mambong dan Kg. Sungai Rimau yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 29 Jun 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pemeriksaan di lokasi aduan.

Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Kelantan, Yang Berhormat ADUN Guchil iaitu Tuan Hilmi Abdullah, Ketua Kampung Bahagia iaitu Encik Mohamad Zain bin Abdul Majid, salah seorang pelajar Cik Mimi Aina Syahira Muhamad (pelajar SPM) dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah pun diadakan pada 30 Jun 2021 bagi mendapatkan gambaran berhubung masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat dan menjelaskan perancangan MCMC.

Pihak MCMC sedar akan masalah liputan yang dihadapi oleh penduduk di Kg. Bahagia dan beberapa buah kampung di sekitarnya seperti Kg. Mambong dan Kg. Sungai Rimau. Oleh itu bagi mengatasi masalah berkenaan, MCMC telah memasukkan pembinaan menara baharu untuk ketiga-tiga kampung tersebut menerusi Pelan Jalinan Digital Negera (JENDELA). Tiga (3) buah menara baharu akan dibina di ketiga-tiga kampung itu di bawah pelan JENDELA Fasa 1 dan dijangka siap pembinaannya pada bulan April 2022.

Apabila kerja-kerja pembinaan menara baharu itu siap nanti, ia dijangka membantu menyelesaikan masalah liputan yang dihadapi selain memberi manfaat kepada 1,800 orang penduduk di ketiga-tiga kampung tadi termasuk juga pelajar-pelajar.