17th Jul 2021

MCMC Tangani Liputan Telekomunikasi Lemah Di Jajaran Kg. Minda, Kg. Talong Dan Kg. Pasir Raja, Dungun, Terengganu

CYBERJAYA 17 Julai 2021

Susulan masalah liputan telekomunikasi lemah di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) iaitu di Kg. Minda, Kg. Talong dan Kg. Raja yang dilaporkan oleh media pada 8 Julai 2021 lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama dengan wakil KETENGAH telah bertemu dengan penduduk sekitar bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dengan kualiti liputan selain meninjau infrastruktur di kawasan kampung berkenaan pada 10 Julai lalu.

Hasil tinjauan mendapati, terdapat 10 menara sedia ada yang sedang dinaik taraf melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sepanjang jajaran laluan Kg. Minda sehingga ke Pasir Raja di bawah Mukim Jengai dan Mukim Pasir Raja melibatkan Kg. Minda, Kg. Talong, Kg. Rantau Panjang, Kg. Kuala Jengai, Kg. Jongkok Batu, Kg. Shukor serta Kg. Pasir Raja. Sehingga kini, hanya satu (1) pembekal perkhidmatan sahaja telah selesai menaik taraf menara yang sedia ada dan dapat memberikan perkhidmatan liputan 4G di kawasan tersebut. Kerja-kerja naik taraf menara-menara dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga Februari 2022 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan ini. Di sepanjang jajaran laluan Kg. Minda sehingga ke Pasir Raja ianya telah diliputi jalinan gentian optik (UNIFI). Justeru, MCMC menyarankan agar penduduk memanfaatkan perkhidmatan ini dengan melanggan pakej yang bersesuaian.

Semasa lawatan ini juga, pihak MCMC Terengganu turut mengunjungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) luar bandar di Sekolah Kebangsaan Kg. Jengai dan mendapati orang ramai dapat membuat pendaftaran dan mengemas kini aplikasi MySejahtera dengan lancar kerana adanya liputan 4G di kawasan tersebut.