02nd Jul 2021

MCMC Ambil Tindakan Tangani Masalah Capaian Internet Di Kampung Malan, Dangi Di Kuala Pilah Dan Kampung Sawai, Matu Di Sarawak

CYBERJAYA, 2 JULAI 2021

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah kawasan.

Susulan laporan oleh pihak media yang membangkitkan ketiadaan capaian Internet di Kampung Malan, Dangi di Kuala Pilah, perkara berkenaan telah disiasat oleh MCMC.

Satu pertemuan antara pihak MCMC Negeri Sembilan bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Hj. Saiful Yazan Sulaiman, wakil penyedia perkhidmatan dan pengadu telah dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat selain menjelaskan perancangan MCMC untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, satu rundingan telah diadakan dengan pihak penyedia perkhidmatan bagi mempertimbangkan penyediaan infrastuktur komunikasi seperti Portable Bases Transmitter Station (PBTS) di lokasi aduan dalam masa terdekat.

Sementara itu, bagi masalah capaian Internet di Kampung Sawai, Matu pula, MCMC akan mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada Sabtu ini bagi mendapatkan gambaran sebenar serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.

MCMC telah mengenal pasti kawasan ini terlebih dahulu dan sebuah menara komunikasi telah dirancang pembinaan di kawasan Muara Sawai, Matu di bawah JENDELA Fasa 1. Pembinaan menara tersebut melengkapi menara komunikasi sedia ada yang telah beroperasi meliputi sembilan (9) menara komunikasi komersial serta tujuh (7) menara komunikasi yang telah dibina di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan MCMC di daerah Matu.

Selain itu, sebanyak 20 stesen pemancar komunikasi sedia ada di daerah Matu kini dalam proses naik taraf kepada perkhidmatan 4G. Inisiatif menaik taraf stesen pemancar sedia ada ini dijangka selesai menjelang penghujung tahun 2021.

Bagi perancangan jangka panjang di bawah pelan JENDELA Fasa 1 pula, sebanyak sembilan (9) menara komunikasi baharu secara keseluruhan telah dirancang untuk dibina di sekitar daerah Matu termasuk satu (1) di kawasan Muara Sawai, seperti yang disebutkan di atas. Pembinaan kesemua menara komunikasi berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021, setelah proses penilaian tender dimuktamadkan oleh MCMC. Selain itu, perkhidmatan jalur lebar mudah alih melalui satelit juga telah dikenal pasti bagi kawasan Muara Sawai dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

Sehubungan itu, MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan Internet dinikmati oleh semua rakyat.