01st Aug 2021

Kerja-Kerja Pemasangan Stesen Pemancar Sementara Di Kg. Gelong Badak, Bachok Siap Satu (1) Hari Lebih Awal, Beri Kelegaan Kepada Pengguna

CYBERJAYA 1 Ogos 2021

Kerja-kerja pemasangan stesen pemancar sementara di Kg. Gelong Badak, Bachok bagi memberikan liputan telekomunikasi kepada para penduduk di sana susulan tumbangnya sebuah menara komunikasi di kampung berkenaan, berjaya disiapkan pada 30 Julai 2021 lalu yakni satu (1) hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Menara komunikasi tersebut yang tumbang pada petang 22 Julai 2021 lalu akibat cuaca buruk, merupakan menara milik pihak Redtone yang dikongsi bersama dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang lain iaitu Celcom, Digi dan Maxis.

Justeru, pengguna setempat yang mengalami gangguan akibat kejadian tersebut kini dapat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan Internet seperti sedia kala. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin merakamkan penghargaan kepada Redtone yang bertungkus lumus untuk menyiapkan pembinaan stesen pemancar sementara berkenaan bagi memastikan liputan perkhidmatan mudah alih kepada orang ramai di kampung berkenaan dapat dipulihkan dengan kadar segera.