24th Aug 2021

Capaian Internet Di Kg. Pangi Tenom, Sabah Sudah Dalam Perancangan Jangka Panjang MCMC

Cyberjaya 24 Ogos 2021

Merujuk kepada laporan Astro Awani pada 12 Ogos berkenaan aduan liputan Internet di Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom, Sabah, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari cawangan Keningau bersama dengan wakil penyedia perkhidmatan telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada 19 Ogos 2021.

Hasil lawatan tersebut mendapati, wujud masalah pada sistem transmisi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) di menara komunikasi yang berdekatan. Sehubungan itu, MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan yang berkenaan untuk mengatasi masalah tersebut dengan kadar segera bagi memastikan penduduk dan pelajar di Kg. Pangi dapat menikmati kembali liputan telekomunikasi yang lebih baik sekaligus memudahkan urusan seharian mereka.

Dalam pada itu, MCMC telah mempunyai perancangan jangka panjang untuk menangani masalah capaian Internet di kawasan Kg. Pangi, apabila sebuah menara komunikasi yang terletak kira-kira 0.17km dari Sekolah Kebangsaan Kg. Pangi akan dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan 4G/LTE. Kerja-kerja naik taraf menara komunikasi berkenaan dijangka siap pada bulan April 2022.

Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 28 buah menara baharu akan dibina di daerah Tenom dan kerja-kerja pembinaan menara baharu itu dijangka bermula pada suku terakhir 2021 dan siap secara berperingkat pada Disember 2022. Sementara itu, bermula April 2021 yang lalu sebanyak 62 stesen pemancar sedia ada sedang dinaik taraf perkhidmatannya kepada 4G/LTE. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 stesen pemancar telah siap dinaik taraf setakat ini. Tambahan pula, dua (2) kawasan di daerah ini juga akan mendapat liputan Internet melalui projek Jalur Lebar Satelit.
Sehubungan itu, tindakan-tindakan yang telah diambil akan membawa capaian Internet yang lebih menyeluruh kepada penduduk di Kg. Pangi.